Rabu, 9 Februari 2011

Aura Dalaman Batu Permata

Posting ini merupakan ringkasan saya daripada rencana utama KOSMO yang ditulis oleh wartawan NURUL IZZA ROSLY.

JUTAAN tahun lalu, batu permata telah menarik minat manusia kerana kecantikan dan misteri di sebaliknya. Sejak itu, batu-batu permata menjadi simbol kekayaan, kuasa dan cinta selain ia dikaitkan dengan zodiak.

Pada zaman purba, batu permata dipakai sebagai azimat dan tangkal untuk melindungi diri daripada kuasa-kuasa jahat dan syaitan, memelihara kesihatan malah, menjauhkan diri daripada wabak penyakit.

Terdapat tiga cara batu permata digunakan iaitu dengan meletakkan batu permata pada bahagian tubuh yang sakit, memakan batu permata yang telah menjadi serbuk dan kehadiran batu permata tersebut sahaja sudah mencukupi untuk mengubati penyakit.

Sehingga kini, terdapat segelintir masyarakat menggunakan batu permata sebagai ubat untuk mengubati penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, insomnia, gemuruh, melancarkan perjalanan darah, resdung, darah tinggi, sakit sendi dan banyak lagi. Boleh dikatakan semua batu permata mempunyai khasiat yang tersendiri.
Kini sudah menjadi trend apabila semakin ramai orang memilih batu permata sebagai cincin. dan loket sebagai perhiasan dalam masa yang sama untuk tujuan kesihatan.

Persoalannya, benarkah batu-batu permata boleh mempengaruhi kesihatan seseorang atau ia sekadar mitos yang diwarisi turun-temurun?

Kurator Muzium Alam Semulajadi, Putrajaya, Degor Johia, “Batu-batuan yang dijual dengan kepercayaan bahawa ia mampu merawat, mengawal dan membantu meningkatkan kesihatan badan setakat ini masih belum dapat dibuktikan kesahihannya.
“Ia bergantung kepada si pemakai kerana setiap orang mempunyai ‘aura dalaman’ berbeza, sama seperti sistem ketahanan antibodi dalam badan manusia,” katanya.
“Memang terdapat unsur elektromagnet di dalam batuan. Lebih tinggi kandungan mineral berlogamnya, maka lebih tinggi gelombang elektromagnet yang terhasil.

“Selain itu, batuan juga mengandungi unsur radioaktif iaitu peratusan kandungannya bergantung kepada bagaimana dan di mana batuan itu terbentuk,” ujarnya.
Contoh di atas hanyalah sebahagian kecil daripada batu-batuan yang digunakan dalam bidang rawatan alternatif kerana Degor memberitahu, ia hanyalah sebahagian daripada ikhtiar untuk mengubati penyakit.

Menurut seorang peniaga Hariyah Halib, 38, batu akik, flourit, kalsit dan obsidian untuk sakit belakang, batu garnet, jasper, dolomite dan karang putih untuk penyakit alahan atau alergi manakala batu delima, garnet dan aventurin hijau untuk masalah kesuburan. Bagaimanapun ia tidak semestinya berkesan 100 peratus. Namun, untuk memiliki batu-batu permata itu, seseorang perlu melabur wang yang banyak kerana harganya tidaklah murah.
“Aksesori daripada batu permata harganya mahal, tetapi kerana minat yang mendalam saya selalu membelinya. Kemudian saya mula membeli secara pukal daripada pembekal kerana harganya lebih murah berbanding membelinya di kedai-kedai biasa.''
“Ada dua sebab mengapa seseorang itu memakai batu permata iaitu untuk kesihatan dan sebagai aksesori kecantikan,” katanya ketika ditemui.

Contonya, dipercayai batu ametis atau kecubung boleh merawat masalah gout, insomnia, serta merawat jerawat serta ekzema.
“Melalui pembacaan dan maklumat yang saya peroleh daripada penjual batu permata, batu-batu ini mempunyai khasiat untuk kesihatan seperti baik untuk kesihatan jantung, kencing manis, artritis, darah tinggi, insomnia dan banyak lagi.
“Sungguhpun begitu kita tidak boleh mempercayai kepada kuasa sesuatu tanpa ada bukti yang sahih berdasarkan kajian saintifik dan pandangan agama kerana ia adalah kuasa Allah.
“Namun, kita sebagai manusia perlu berusaha untuk mencari penawar bagi setiap sesuatu kerana Allah telah menciptakan setiap kejadiannya di muka bumi ini dengan manfaat masing-masing,” ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm